AR RAUDHAH SANDAKAN UNGGULI MSSRIS XI DENGAN 21 PINGAT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,3 SEPT – Sekolah Rendah Ar-Raudhah Sandakan membuktikan keunggulan dalam arena sukan sekolah Islam apabila muncul Johan Keseluruhan MSSRIS XI 2026 selepas mengumpul 21 pingat termasuk tujuh emas, 10 perak dan empat gangsa.

Pencapaian itu diraih menerusi kecemerlangan atlet Ar-Raudhah dalam pelbagai acara balapan, padang dan memanah pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 29 hingga 30 Ogos lalu.

Antara penyumbang utama kejayaan ialah Abdul Aqil Abd. Rahman yang meraih emas dalam acara 100 meter dan 200 meter Muslimin A, selain membantu pasukan 4×100 meter dan 4×200 meter Muslimin A turut meraih emas.

Muhammad Shairil Celestine pula menyumbang emas dalam lompat jauh Muslimin A, manakala Awfiyah Zafrah Dahlan meraih emas dalam lompat jauh Muslimat A.

Turut menyerlah ialah Aleesya Safiya Mohd Fadzil yang meraih emas dalam lontar peluru Muslimat A.

Dalam acara memanah, kontinjen Ar-Raudhah turut menyumbang beberapa pingat perak menerusi acara individu, berkumpulan dan campuran.

Kecemerlangan itu turut diserikan dengan pengiktirafan individu apabila Abdul Aqil Abd. Rahman dinobatkan sebagai Olahragawan Tahap 2 MSSRIS XI 2026 manakala Aleesya Safiya Mohd Fadzil dinobatkan sebagai Olahragawati MSSRIS XI 2026.

Kejayaan tersebut disifatkan hasil kesungguhan atlet, komitmen jurulatih dan guru pengiring serta sokongan ibu bapa dan seluruh warga Sekolah Rendah Ar-Raudhah Sandakan.

Kejayaan sebagai juara keseluruhan juga membawa amanah baharu apabila Ar-Raudhah dipilih sebagai tuan rumah MSSRIS Kali Ke-12 pada 2027, sekali gus membuka ruang kepada sekolah berkenaan meneruskan kecemerlangan sukan sambil memperkukuh ukhuwah antara sekolah rendah Islam di seluruh Sabah.

Kejohanan MSSRIS XI 2026 dirasmikan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin bin Beting manakala majlis penutupan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah N.16 Karambunai, Datuk Dr. Aliaakbar Gulasan.

Share This Article