SH-SYARMILAH SALLEH
LAHAD DATU: Seorang wanita berusia 34 tahun cedera parah selepas kereta yang dipandunya terbabas sendiri dan terjunam ke dalam longkang sedalam kira-kira lima meter di Taman CL, Jalan Asam, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, kemalangan berlaku apabila motokar yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam longkang.
Katanya, mangsa merupakan seorang wanita ditemui mengalami kecederaan parah dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan penyelamat kemudiannya bertindak mengangkat mangsa menggunakan stretcher sebelum menyerahkannya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM)”,katanya.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 kira-kira pukul 11.35 malam dan telah menggerakkan sebuah jentera LFRT dan satu unit EMRS dari BBP Lahad Datu ke lokasi kejadian sejauh empat kilometer dengan sepasukan 10 anggota diketuai oleh Komander Operasi, PBK II Mohammad Su’ait Mohammad.
Operasi tamat sepenuhnya pukul 12.07 tengah malam.
TAMAT

Pihak Bomba sedang berusaha membawa mangsa naik ke daratan