GRS SASAR TAWAN LAHAD DATU PADA PRU AKAN DATANG

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU , 18 APRIL-Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan hasrat agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi kerusi di Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan kesinambungan pembangunan di daerah itu.

Menurutnya, sokongan padu rakyat kepada parti kerajaan amat penting bagi membolehkan pelbagai perancangan dan inisiatif pembangunan yang sedang serta akan dilaksanakan dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Saya mahu rakyat di Lahad Datu bersatu hati dan memilih parti kerajaan demi kebaikan bersama. Kita perlu berfikir secara jangka panjang untuk masa depan daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tungku, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan, di sini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai usaha pembangunan untuk rakyat Sabah termasuk di Lahad Datu yang dilihat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.

“Banyak yang telah kita lakukan untuk rakyat Sabah. Justeru.. jangan mudah terpengaruh dengan fitnah atau tuduhan tidak berasas yang hanya akan merugikan kita,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata Lahad Datu berpotensi menjadi antara pemacu ekonomi utama negeri menerusi pelaksanaan projek strategik seperti pembangunan Pusat Perindustrian Minyak Sawit (POIC) serta cadangan menjadikannya sebagai lokasi pelancaran roket satelit di Asia Tenggara.

Katanya, kajian oleh agensi berkaitan termasuk pihak sains dan teknologi menunjukkan Lahad Datu kini berada pada peringkat akhir pemilihan sebagai lokasi paling sesuai bagi projek berkenaan.

“Jika perancangan ini direalisasikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang Lahad Datu dijangka menjadi tumpuan pelabur, saintis serta pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Share This Article