USAHA MENCARI LELAKI HILANG DI HUTAN KALABAKAN DITERUSKAN

KALABAKAN,16 OKT Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Batu 32, Jalan Kalabakan–Keningau, sejak Selasa lalu.

Mangsa dikenali sebagai Khairul bin Saharin, 31, berketurunan Tidung, dilaporkan tidak pulang selepas keluar memancing dan mencari hasil hutan bersama sepupunya.

Menurut laporan, mangsa dikatakan berpisah dengan sepupunya ketika dalam perjalanan pulang ke tapak perkhemahan mereka. Sepupunya cuba menghubungi mangsa namun gagal dan dipercayai bateri telefon mangsa kehabisan.

Selepas mangsa tidak pulang sehingga keesokan hari, satu laporan orang hilang dibuat di Balai Polis Kalabakan pada 15 Oktober 2025.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kalabakan berkata, pihaknya menerima maklumat awal daripada polis pada jam 9.37 malam (15 Oktober) sebelum operasi SAR digerakkan pada jam 9 pagi (16 Oktober).

“Seramai empat anggota APM digerakkan bersama 10 anggota PDRM, tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk tiga anggota bomba sukarela, serta 10 penduduk kampung,” katanya.

Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 10.46 pagi sebelum membahagikan kawasan pencarian kepada dua kumpulan.

Operasi turut disertai orang awam dan kini tertumpu di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang.

Setakat jam 12 tengah hari (16 Oktober), mangsa masih belum dijumpai dan operasi mencari diteruskan.

TAMAT