KOTA KINABALU,29 SEPT – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman menzahirkan ucapan takziah kepada Puan Sri Hajah Dayangku Siti Aminah Pg Mohd Tajuddin atas pemergian suaminya, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Khalil Haji Jamalul, yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
Menerusi perkongsian di akaun Facebook beliau, Tun Musa bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Allahyarham Tan Sri Khalil pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang keenam selama tujuh tahun bermula 1993 sebelum dilantik sebagai Pengarah Yayasan Sabah pada 2001 dan memegang jawatan berkenaan selama beberapa tahun.
Tun Musa turut menyifatkan jasa, khidmat bakti dan sumbangan Allahyarham kepada Perkhidmatan Awam Negeri Sabah sebagai sesuatu yang akan sentiasa dikenang dan dihargai.
Dalam perkongsian sama, Tun Musa dan Toh Puan Faridah turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
