sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 23 Ogos – Polis Lahad Datu melalui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) berjaya menahan tiga lelaki dalam operasi berasingan Op Tapis di sekitar daerah ini, semalam.
Dalam tangkapan pertama di Jalan Segama, dua lelaki tempatan berusia 38 dan 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan. Pemeriksaan mendapati salah seorang daripada mereka memiliki satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.07 gram bersama satu gulung kertas timah (foil).
Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk ujian saringan air kencing, yang kemudian mengesahkan mereka positif dadah. Semakan lanjut mendapati kedua-duanya turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Dalam tangkapan kedua, seorang lelaki warga Filipina berusia 31 tahun tanpa dokumen pengenalan diri ditahan selepas ujian saringan air kencing turut mendapati beliau positif dadah.
Ketiga-tiga suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana kesalahan penggunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia khususnya IPD Lahad Datu dalam membanteras aktiviti jenayah berkaitan dadah di daerah ini.
TAMAT
