MARITIM TAHAN BOT NELAYAN

sabahheadlines
2 Min Read

SYARMILAH SALLEH

LAHAD DATU (8 MEI): Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah bot nelayan yang sedang melakukan aktiviti perikanan secara haram di Perairan Felda Sahabat Tungku, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 10.30 pagi oleh sepasukan bot ronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin di bawah Ops Pluto Timur 2/ 2013 dan Ops Tiris 3.0.

Bot berwarna putih biru tanpa nombor pendaftaran sah itu dikesan berada di posisi 4.1 batu nautika selatan Tanjung Tungku.

Hasil pemeriksaan mendapat seorang lelaki warga asing berada di atas bot berumur 28 tahun, gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau permit sah untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara ini.

Menurut Dzulfikar, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah dan akan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Nilai tangkapan adalah dalam lingkungan RM 300 ribu.

Pihak Maritim menegaskan komitmennya membenteras pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing serta aktiviti perikanan haram yang menjejaskan sumber hasil laut tempatan.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk makluman balas segera.

TAMAT

Share This Article