KONFLIK MANUSIA- HAIWAN ANTARA CABARAN DAN PEMULIHARAAN

sabahheadlines
4 Min Read

sh@ SYARMILAH SALLEH
LAHAD DATU: 4 Julai – Isu konflik antara manusia dan haiwan liar terus menjadi cabaran utama di kawasan sekitar Lahad Datu, terutamanya di zon industri seperti POIC.

Antara spesies yang sering terlibat termasuk buaya, monyet, dan gajah Borneo, yang bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk dan pekerja, malah menimbulkan pelbagai insiden yang memerlukan tindakan segera.

Pengurus Kanan Operasi Pelabuhan Kumpulan POIC ,Clarence Miwil berkata
antara kejadian yang dilaporkan termasuk kemunculan buaya di kawasan sungai dan saliran berhampiran kawasan industri, yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan nyawa manusia.

Katanya, dalam beberapa kes, pihak berkuasa terpaksa bertindak pantas bagi mencegah sebarang tragedi.

Beliau berkata demikian di Program Kesedaran Pemuliharaan Hidupan Liar yang berlangsung di Bangunan Pentadbiran POIC Container Terminal, di Lahad Datu baru baru ini.

“Spesies monyet, termasuk jenis berbuntut panjang dan berbuntut babi, turut menimbulkan masalah apabila semakin terbiasa dengan kehadiran manusia dan makanan yang ditinggalkan.

Monyet dilaporkan mencuri makanan, barangan peribadi, malah bertindak agresif sehingga menggigit dalam situasi tertentu. Kejadian seumpama ini turut dikesan di Pulau Sakar, “, katanya .

Namun begitu, cabaran paling besar dilaporkan melibatkan gajah Borneo, yang sering menceroboh kawasan pertanian dan kilang.

Haiwan ini dilihat merosakkan tanaman seperti kelapa sawit dan pokok buah-buahan dalam usaha mencari makanan, terutama ketika melalui laluan tradisi mereka.

Insiden seperti ini menekankan keperluan sistem amaran awal serta koordinasi kukuh antara agensi berkaitan.

Menurutnya, ketiga-tiga spesies ini pernah menimbulkan insiden di kawasan industri tersebut.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk pemindahan monyet secara selamat bagi mengurangkan konflik, serta perancangan strategik untuk menangani kemunculan buaya dan gajah.

“Isu-isu ini bukan sekadar cabaran, tetapi juga peluang untuk kita memperbaiki gaya hidup dan cara bekerja agar dapat wujud secara harmoni dengan alam semula jadi, di samping mengekalkan keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah serta semua peserta yang menjayakan program tersebut.

“Program ini diadakan dengan matlamat penting – untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan POIC dan masyarakat setempat mengenai tanggungjawab bersama kita dalam pemuliharaan hidupan liar,” katanya.

Menurut beliau, kawasan POIC terletak berhampiran habitat semula jadi yang menjadi tempat tinggal kepada pelbagai spesies hidupan liar yang unik dan dilindungi.

Oleh itu, kejadian pertembungan antara manusia dan haiwan liar bukan lagi sesuatu yang asing.

Justeru, adalah penting untuk memupuk pemahaman mengenai cara hidup bersama secara harmoni, selamat dan lestari.

Turut hadir Hairulnizam bin Hasnan
Pegawai Pemuliharaan.

Sementara itu Liniker Saipun, seorang pakar dalam bidang pemuliharaan primate menyampaikan ceramah kesedaran berkenaan pemuliharaan Orang Utan.

Ceramah yang diadakan ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies Orang Utan yang semakin terancam, khususnya di kawasan hutan Sabah yang menjadi habitat semula jadi mamalia tersebut.

Dalam penyampaiannya, Liniker menekankan bahawa Orang Utan bukan sahaja penting dari sudut biodiversiti, tetapi juga memainkan peranan dalam ekosistem hutan hujan tropika.

Beliau turut menyentuh cabaran seperti kehilangan habitat akibat pembalakan dan pembangunan yang tidak terkawal.

TAMAT

Share This Article