LAHAD DATU, 10 Nov — Masyarakat India di negeri ini kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah akan datang.
Presiden Gabungan Komunitu India Sabah, Datuk A.Nagaraju berkata, kepimpinan GRS sentiasa prihatin terhadap masyarakat India di Sabah dan wajar dikekalkan bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kebajikan komuniti itu terus terpelihara.
“Harapan kami mudah.. kita mahu kesinambungan. Kepimpinan yang ada hari ini tidak pernah melupakan masyarakat India. Jadi, kenapa tidak kita teruskan sahaja apa yang telah terbukti baik ini,” katanya kepada media di Majlis Sambutan Deepavali 2025 di Faridah Hanum Grand Hall baru-baru ini.
Menurutnya, GKIS kini mempunyai kira-kira 5,400 ahli berdaftar yang layak mengundi di seluruh Sabah termasuk sekitar 335 pengundi di kawasan Parlimen Silam.
“Walau apa pun keadaan, kami tetap bersama GRS. Kami tidak pernah rugi sepanjang berada di bawah kerajaan ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Bahagian PGRS DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah turut menzahirkan rasa gembira dengan sokongan padu masyarakat India terhadap kerajaan GRS.
“Sokongan ini membuktikan bahawa kestabilan politik Sabah disokong oleh semua kaum India, Cina dan Melayu. Kami berharap sokongan ini akan terus kukuh menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.
Datuk Mizma turut memaklumkan bahawa jentera GRS di DUN Silam kini bersiap sedia sepenuhnya,hanya menantikan pengumuman rasmi calon yang akan bertanding.
“Bagi kami yang paling penting ialah GRS mesti menang. Dalam suasana politik sekarang banyak calon mahu bertanding tetapi keutamaan adalah kepada calon yang benar-benar boleh menang.
“Ini bukan masa untuk merajuk. Siapa pun calon pilihan presiden parti, kita akan sokong sepenuhnya. Insya-Allah, GRS akan menang di DUN Silam,” tegasnya.
TAMAT
