Seni Budaya Aset Masa Depan, Pacu Pelancongan Sandakan

SANDAKAN, 21 Dis — Sektor pelancongan terus menjadi nadi ekonomi utama kepada bandar Sandakan dengan penganjuran platform seni dan budaya dilihat sebagai aset masa depan yang mampu menyatukan masyarakat serta memacu pembangunan sosial dan ekonomi setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Haji Hazem Mubarak Tun Musa berkata platform seni budaya bukan sekadar medium komuniti malah berperanan penting dalam melahirkan bakat-bakat tempatan untuk diketengahkan ke peringkat lebih luas.

Menurutnya, penganjuran program seperti The Culture 2025 membuktikan jaringan kerjasama antara belia, penggiat seni, agensi kerajaan serta sektor swasta terus terjalin dengan baik dalam usaha membentuk komuniti madani yang progresif dan kreatif.

“Platform sebegini juga membuka ruang kepada produk tempatan untuk menjadi tarikan bernilai tinggi di mata pelancong dalam dan luar negara, sejajar dengan kedudukan Sandakan sebagai destinasi pelancongan yang sudah dikenali,” katanya ketika berucap pada program berkenaan, di sini.

Beliau menambah, pentas seni dan budaya sememangnya mempunyai nilai tarikan tersendiri yang mampu memperkukuh identiti bandar Sandakan serta memberi impak positif kepada ekonomi tempatan.

Hazem turut berharap agar masyarakat setempat terus menyokong dan memanfaatkan sepenuhnya penganjuran program seperti ini bagi memastikan kelangsungan inisiatif yang menyatukan komuniti.

“Saya berharap Program The Culture 2025 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang menyatukan kita sebagai sebuah komuniti yang progresif, kreatif dan berbudi,” katanya.

TAMAT