KOTA KINABALU: Pembangunan modal insan dan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) diberi tumpuan.
Tumpuan itu diberikan sebagai teras utama dalam menjayakan misi menjadikan Sabah maju dan berdaya saing, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji
Beliau berkata, pembangunan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi adalah pelaburan jangka panjang paling penting untuk memastikan generasi muda Sabah mampu menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sabah memerlukan tenaga kerja tempatan yang bukan sahaja berpendidikan tinggi, tetapi juga berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran industri masa kini ” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS 2025 di The Magellan Sutera Resort, di sini, Isnin lalu.
Menerusi usaha berterusan, katanya ” kita dapat melihat lebih ramai anak-anak Sabah memasuki bidang kemahiran seterusnya membantu dalam pembangunan negeri ini.”
Beliau, sepanjang pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0, kerajaan telah memperuntukkan RM1.33 bilion untuk membangunkan modal insan, termasuk RM848.26 juta bagi bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus untuk program pembangunan bakat serta kemahiran.
“Kita tidak mahu hanya membina bangunan dan infrastruktur, tetapi yang lebih penting adalah membina kapasiti dan kualiti rakyat Sabah itu sendiri,” tegasnya.
Dalam usaha memperkasa bidang TVET, Hajiji berkata Sabah kini menyaksikan perkembangan membanggakan menerusi pengiktirafan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) sebagai institusi berakreditasi di bawah Kod Amalan Pentauliahan Program TVET (COPTPA).
Katanya, pengiktirafan itu membuktikan keupayaan KTC dalam menyediakan latihan bertaraf tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri, khususnya dalam sektor minyak dan gas.
“Seramai 20 pelatih baharu akan memulakan program Diploma Kemahiran Malaysia di KTC, menandakan keyakinan berterusan terhadap keupayaan institusi ini melahirkan tenaga kerja mahir untuk sektor minyak dan gas serta sektor lain yang sedang berkembang pesat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan mahu melihat lebih ramai belia menceburi bidang teknikal bukan sahaja untuk memenuhi keperluan sektor tradisional seperti pembinaan dan perindustrian, malah turut bersaing dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, pelancongan dan pertanian moden.
“TVET adalah pilihan dan laluan utama kepada kerjaya yang stabil dan bernilai tinggi dalam ekonomi masa hadapan,” ujarnya.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada PETRONAS atas komitmen berterusan menyokong pembangunan pendidikan dan latihan di Sabah, termasuk Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS dan Biasiswa Kecil PETRONAS untuk pelajar sekolah menengah.
“Program seperti ini bukan sekadar penghargaan kepada usaha pelajar, malah menjadi pemangkin semangat untuk terus belajar dan berjaya. PETRONAS bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan industri, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan Sabah,” katanya.
Beliau berharap inisiatif pendidikan dan latihan yang diterajui PETRONAS akan terus diperluaskan, seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri menjadikan pembangunan modal insan sebagai keutamaan jangka panjang.
Tamat
