Tawau, 30 Jan – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan minyak diesel selepas menahan sebuah kapal kargo dalam rondaan di perairan Sungai Selipar, Pulau Sebatik, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.21 petang itu, kapal yang dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Sebatik ke Nunukan, Indonesia, ditahan untuk pemeriksaan rutin. Kapal berkenaan dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun.
Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 11,600 liter minyak diesel yang disimpan di dalam beberapa tangki minyak serta tong dram. Juragan kapal gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sekali gus menimbulkan syak bahawa bahan api tersebut bertujuan diseludup ke negara jiran.
Kesemua minyak diesel bersama kapal telah dirampas bagi membantu siasatan lanjut, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM647,850.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api bersubsidi demi melindungi kepentingan negara serta keselamatan perairan
TAMAT
