Rumah Separuh Kekal Musnah 90 Peratus dalam Kebakaran di Lahad Datu

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 2 Januari 2026 — Sebuah rumah jenis separuh kekal di Kampung CinaJalan Bakawali, di sini musnah kira-kira 90 peratus dalam satu kejadian kebakaran petang tadi kelmarin namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

Menurut Komander Operasi, PBK I Mohd Suait bin Mohammad, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 4.38 petang dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan kira-kira 35 x 50 kaki.

“Pasukan bomba bertindak pantas menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera, sumber air terbuka serta pili bomba berhampiran,” katanya.

Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.52 petang sebelum ditamatkan pada jam 6.54 petang selepas anggota bomba memastikan tiada sebarang bahaya lain di lokasi kejadian.

Seramai tujuh anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah jentera LFRT.

Turut membantu di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dua wakil daripada Sabah Electricity.

Ketua Balai BBP Lahad Datu, Sumsoa bin Rashid berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

TAMAT

Share This Article