BENGKEL VIDEO KREATIF, LIVE STREAMING DAN MEDIA SOSIAL PERKASA KEMAHIRAN DIGITAL PESERTA

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN, 19 JULAI – Usaha memperkukuh literasi digital dan melahirkan lebih ramai pencipta kandungan kreatif diteruskan menerusi penganjuran Bengkel Video Kreatif, Live Streaming dan Media Sosial yang berlangsung di Dewan Perpustakaan Wilayah Sandakan, pada sabtu.

Program sehari itu merupakan anjuran Sabah Headlines (Borneo Headlines Network) dengan kerjasama Persatuan Seni dan Penulis Sandakan serta Perpustakaan Wilayah Sandakan.

Sementara itu pengendalian bengkel dilaksanakan oleh Khaiz Empire.

Bengkel berkenaan memberi tumpuan kepada penulisan media sosial, penghasilan video kreatif, teknik penyiaran langsung (live streaming) serta penggunaan aplikasi suntingan video sebagai usaha meningkatkan kemahiran digital peserta selaras dengan perkembangan teknologi komunikasi masa kini.

Sepanjang program itu berlangsung peserta mengikuti lima slot pengisian merangkumi teknik penulisan kandungan media sosial yang berkesan, asas penghasilan video kreatif, teknik rakaman menggunakan peralatan mudah alih termasuk teknik suntingan video serta latihan praktikal menghasilkan kandungan yang menarik dan berkualiti.

Dalam slot penulisan media sosial, Sante Villiamon selaku fasilitator berkongsi mengenai peranan wartawan sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat serta tanggungjawab yang perlu dipikul dalam memastikan setiap laporan yang disampaikan adalah tepat, sahih dan beretika.

Beliau turut menekankan kepentingan integriti dalam kewartawanan, amalan semakan fakta serta penggunaan media sosial secara bertanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu.

Peserta turut didedahkan kepada teknik menghasilkan video kreatif bermula daripada perancangan kandungan, teknik rakaman, penggunaan aplikasi suntingan video sehingga proses penerbitan kandungan yang sesuai untuk dikongsikan di pelbagai platform media sosial.

Latihan secara praktikal turut memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari sepanjang bengkel.

Selain pengisian ilmu, program itu turut menjadi platform kepada peserta untuk membina rangkaian kerjasama dan bertukar pandangan bersama fasilitator serta peserta lain sekali gus membuka peluang kepada kolaborasi dalam bidang media digital dan penghasilan kandungan kreatif.

Program diakhiri dengan sesi refleksi, rumusan keseluruhan bengkel serta penyampaian cenderahati kepada para peserta sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.

Penganjuran bengkel tersebut diharap dapat melahirkan lebih ramai individu yang mahir dalam penulisan media sosial, penghasilan video kreatif dan penyampaian maklumat yang beretika sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti digital yang lebih kreatif, berdaya saing dan bertanggungjawab di Sabah.

Share This Article