LAHAD DATU, 11 APRIL – Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan lima kenderaan di Batu 8, Jalan Silam di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu kemalangan melibatkan sebuah lori, sebuah jentera pengorek (excavator), dua kereta iaitu Perodua Alza dan Proton Saga FLX serta sebuah motosikal jenis Yamaha LC.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu,Sumsoa Rashid berkata, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu diketuai PBK I Mohammad Akbar Mohambar dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 16 kilometer dan tiba di situ pada jam 5.16 petang.
Menurutnya,kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori yang bergerak dari arah Lahad Datu ke Tawau bertembung dengan beberapa kenderaan dari arah bertentangan manakala sebuah excavator turut berada di kawasan pembinaan Projek Pan Borneo berhampiran lokasi kejadian.
Bomba memaklumkan jumlah keseluruhan mangsa melibatkan beberapa kenderaan dengan sebahagian daripadanya telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Bagi kereta Proton Saga FLX terdapat enam mangsa namun empat daripadanya termasuk seorang lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak telah dibawa ke hospital lebih awal.
Dua lagi mangsa wanita dewasa ditemui di lokasi kejadian dengan seorang disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi cedera dan dihantar ke hospital.
Sementara itu tiga lelaki dewasa yang menaiki Perodua Alza serta pemandu excavator dilaporkan selamat.
Pemandu lori dan penunggang motosikal pula telah dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja penstabilan mangsa, kenderaan dan kawasan kejadian dengan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.29 petang selepas keadaan disahkan terkawal sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
