KUALA LUMPUR, 5 Mac – Senator Datuk Anna Bell Perian menegaskan keperluan pelaksanaan dasar kerajaan yang lebih telus, berakauntabiliti dan berimpak kepada rakyat ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Dalam perbahasan tersebut, beliau menekankan bahawa titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai kemajuan negara, reformasi pentadbiran serta pengukuhan integriti perlu diterjemahkan melalui tindakan yang jelas, termasuk garis masa pelaksanaan projek dan perincian peruntukan oleh kementerian.
Menurut beliau, rakyat kini menuntut ketelusan dalam pelaksanaan dasar kerajaan, justeru setiap jawapan kementerian di Dewan Negara sewajarnya disertakan dengan data yang tepat, sasaran yang boleh diukur serta jadual pelaksanaan yang jelas.
Dalam ucapannya, Datuk Anna Bell turut menyentuh isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) khususnya berkaitan semakan semula pemberian khas 40 peratus hasil bersih Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Beliau meminta kerajaan menjelaskan status terkini perkara tersebut serta sama ada formula tetap berasaskan hasil sebenar akan ditetapkan bagi memastikan kepastian fiskal kepada Sabah.
Beliau juga membangkitkan keperluan memurnikan tafsiran undang-undang berkaitan hak Sabah terhadap pelantar benua dan sumber petroleum supaya selari dengan semangat autonomi negeri seperti yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.
Selain itu, Datuk Anna Bell menuntut penjelasan terperinci daripada kerajaan mengenai kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, khususnya peratusan siap bagi setiap pakej Fasa 1B serta tarikh jangka siap terkini.
Menurut beliau, projek ini amat penting kerana ia bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga meningkatkan keselamatan jalan raya dan akses kepada perkhidmatan asas di kawasan pedalaman Sabah.
Isu bekalan air dan elektrik yang sering menjejaskan kehidupan rakyat Sabah turut menjadi perhatian dalam perbahasan tersebut.
Beliau meminta kerajaan memberikan garis masa jelas bagi projek berkaitan termasuk Projek Southern Link serta program penggantian paip usang di Kota Kinabalu dan Tawau.
Dalam aspek pembasmian kemiskinan, Datuk Anna Bell turut membangkitkan keadaan beberapa daerah di Sabah seperti Tongod, Nabawan dan Pitas yang masih berada dalam kategori termiskin di Malaysia.
Beliau meminta penjelasan mengenai bagaimana peruntukan pembangunan RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026 akan diagihkan secara bersasar bagi merangsang ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan isi rumah.
Perbahasan tersebut juga menyentuh agenda pendigitalan negara termasuk keberkesanan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang bertujuan meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman.
Dalam aspek keselamatan, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh operasi keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) melalui penggunaan teknologi seperti dron jarak jauh dan kecerdasan buatan bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
Datuk Anna Bell turut menegaskan keperluan mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan yang sering terjejas di Sabah, selain memberi perhatian kepada pembangunan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk kemudahan kekal bagi pusat latihan seperti GIATMARA yang telah lama beroperasi tetapi masih tidak mempunyai bangunan sendiri.
Menurut beliau, kemajuan negara tidak boleh diukur semata-mata melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi harus dinilai berdasarkan sejauh mana manfaat pembangunan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi, khususnya di Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa keadilan wilayah perlu menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) supaya jurang pembangunan antara Sabah dan wilayah lain dapat dirapatkan secara berkesan.
TAMAT
