SANDAKAN, 22 April -Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan dalam operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah di sekitar Batu 7, Kampung Batu Putih, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan itu berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4 petang.
Menurutnya, dalam operasi bersepadu berkenaan, seorang lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam perkembangan sama, sepasukan anggota dari cawangan MPV turut menahan seorang lagi lelaki ketika rondaan bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.
Hasil ujian mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, yang dikenali sebagai syabu.
George berkata, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan polis dalam mengekang aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.
“Polis Sandakan akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” tegasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan mereka.
