PITAS, 15 Feb : Sambutan Festival Tahun Baharu Cina 2026 di daerah ini melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama lebih seminggu dengan pelbagai pengisian yang memeriahkan suasana komuniti setempat.
Majlis penutupan festival berkenaan disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih yang hadir mewakili Ketua Menteri Sabah di Dataran Salimpodon, di sini, malam tadi.
Festival yang bermula pada 8 Februari itu menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan, sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di daerah ini.
Datuk Isnin dalam ucapannya memuji usaha penganjur yang berjaya menjayakan program berkenaan serta menyifatkannya sebagai manifestasi semangat perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran program seumpama itu wajar diteruskan kerana bukan sahaja memelihara warisan budaya, malah mampu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Majlis berakhir dengan suasana meriah apabila orang ramai mengambil kesempatan menyertai acara penutup serta aktiviti kebudayaan yang disediakan.
Ends
