DBKK Anjur Program Pemeliharaan Warisan Menara Jam Atkinson Bersama Miss World 2025

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 12 Feb – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menganjurkan program bertemakan pemeliharaan warisan dan kelestarian alam sekitar bertempat di Menara Jam Atkinson, sempena lawatan Miss World 2025, Miss Opal Suchata ke bandar raya ini, hari ini.

Program “Atkinson Clock Tower: A Timeless Commitment – Heritage and Environmental Preservation” turut disertai Miss World Malaysia 2025, Miss Taanusiya Chetty, sekali gus mencerminkan komitmen DBKK dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga warisan sejarah dan alam sekitar.

Majlis disempurnakan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Sri Dr. Haji Sabin Samitah, yang turut dihadiri Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, Datin Sri Hajah Adreen Aderizza Mohamad Soffi, Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong serta barisan pengurusan tertinggi DBKK dan delegasi Miss World Organization.

DBKK memaklumkan penganjuran program itu juga menandakan lawatan ketiga Miss World Organization ke Kota Kinabalu, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama strategik yang terjalin dalam pelbagai inisiatif melibatkan komuniti dan pembangunan bandar.

Menara Jam Atkinson yang dibina pada 1905 merupakan antara struktur tertua yang masih kekal di Kota Kinabalu dan menjadi simbol penting kepada sejarah serta identiti bandar raya.

Sebagai simbolik komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar, program turut diserikan dengan aktiviti penyiraman pokok yang akan terus dipelihara di Taman Botani Tun Fuad Stephens, selaras dengan usaha pemuliharaan biodiversiti di negeri ini.

DBKK menegaskan pihaknya akan terus komited memperkukuh agenda pemeliharaan warisan, perlindungan alam sekitar dan pembangunan komuniti secara seimbang ke arah menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya mampan dan berdaya huni.

TAMAT

Share This Article