Pengurus KTV Ditahan Positif Dadah Dalam Serbuan JSJN Sabah

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU – Tindakan penguatkuasaan berterusan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah berjaya menahan seorang pengurus pusat hiburan karaoke (KTV) dalam satu operasi khas di pusat bandar raya ini, awal pagi Ahad.

Serbuan yang dilaksanakan kira-kira jam 1.30 pagi itu menyasarkan sebuah premis hiburan yang dikenal pasti hasil risikan dan pemantauan pihak berkuasa. Dalam operasi berkenaan, seramai 17 individu terdiri daripada pekerja dan pengunjung telah diperiksa.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil, memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan selepas ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Menurut beliau, tiada sebarang rampasan bahan terlarang dilakukan dalam operasi tersebut, namun siasatan tetap diteruskan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku mengambil minuman yang disyaki mengandungi bahan terlarang di sebuah premis hiburan lain dua hari sebelum penahanan dibuat,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah beliau, pihaknya akan terus mempergiatkan risikan dan pemantauan terhadap premis hiburan di seluruh negeri bagi mengekang sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

JSJN Sabah, katanya, kekal komited melaksanakan tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dengan aktiviti dadah demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.

TAMAT

Share This Article