SAR HARI KEDUA TEMUI POWER BANK, WARGA EMAS MASIH HILANG DALAM GUA

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 1 JUN-Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit di Gua Tepadung, Segama, dekat sini masih belum ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Ismail Ibrahim, 61, dilaporkan hilang sejak 26 Mei lalu selepas memasuki gua berkenaan bersama dua rakannya untuk mencari sarang burung walit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, kedua-dua rakannya keluar dari gua bagi mendapatkan bekalan air minuman dan meninggalkan mangsa bersendirian di dalam gua.

Namun, apabila mereka kembali ke lokasi berkenaan mangsa didapati telah hilang.

Usaha pencarian awal yang dijalankan oleh kedua-dua rakannya gagal menemui mangsa sebelum keluarga mangsa yang menetap di Sandakan dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada jam 2.10 petang, 31 Mei lalu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi.

Operasi SAR hari kedua bermula pada jam 9.30 pagi dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan, RELA serta penduduk kampung.

Pasukan penyelamat memasuki lubang menegak pertama gua dan berjaya tiba di lokasi terakhir mangsa dilaporkan ditinggalkan.

Ketika operasi dijalankan pasukan menemui sebuah power bank yang dipercayai milik mangsa di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun mangsa masih gagal dikesan.

Selain itu, pasukan penyelamat turut mengenal pasti satu lagi lubang baharu di sekitar kawasan operasi yang berpotensi diterokai.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, lubang tersebut dipercayai belum pernah dimasuki atau diterokai sebelum ini.

Operasi SAR turut berdepan cabaran apabila lokasi kejadian tidak mempunyai liputan GIRN dan capaian talian telefon yang sangat terhad.

Operasi ditangguhkan pada jam 4 petang dan akan disambung semula esok bagi meneruskan pencarian mangsa.

Share This Article