OPERASI “OP DADU KHAS” TUMPASKAN KEGIATAN JUDI TERSELINDUNG, 67 INDIVIDU DITAHAN

sabahheadlines
3 Min Read

KUALA LUMPUR, 3 APRIL – Tindakan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya membongkar kegiatan perjudian haram yang berselindung di sebalik operasi pusat hiburan dan e-sukan dalam satu operasi khas baru-baru ini.

Operasi dikenali sebagai Op Dadu Khas yang digerakkan Bahagian D7 berlangsung selama dua hari bermula 1 April lalu, melibatkan serbuan ke atas 13 premis di Selangor dan Sabah yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian secara tersembunyi.

Pengarah JSJ, Datuk M. Kumar Ails. Muthuvelu berkata, lapan premis diserbu di sekitar Seri Kembangan dan Klang Utara, manakala lima lagi operasi dijalankan di beberapa lokasi di Sabah termasuk Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

“Serbuan ini menyasarkan premis yang beroperasi sebagai pusat hiburan interaktif dan keluarga, selain premis yang menyalahgunakan lesen e-sukan bagi menjalankan perjudian dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.

Selangor Catat Tangkapan Tertinggi.

Menurut beliau, sebanyak 52 individu berumur antara 20 hingga 75 tahun ditahan di Selangor, merangkumi penjaga premis dan pelanggan.

Daripada jumlah itu, separuh merupakan warga asing yang dipercayai terlibat secara langsung dalam operasi premis, termasuk dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar.

Polis turut merampas pelbagai peralatan elektronik yang digunakan untuk aktiviti perjudian seperti tablet, komputer riba dan mesin simulator, selain wang tunai hampir RM10,000.

Serbuan di Sabah:

15 Individu Ditahan
Dalam perkembangan sama, serbuan di Sabah membawa kepada penahanan 15 individu tempatan.

Rampasan di negeri itu melibatkan beberapa unit komputer dan mesin simulator serta wang tunai lebih RM6,000 yang dipercayai hasil aktiviti perjudian.

Premis Beroperasi Tanpa Lesen Sah.

Siasatan awal mendapati kebanyakan premis yang diserbu tidak memiliki lesen sah, selain ada yang menggunakan lesen hiburan sedia ada sebagai helah untuk menjalankan aktiviti perjudian.

Pihak polis percaya sindiket menggunakan taktik menyamar sebagai pusat hiburan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Tindakan Undang-Undang Diteruskan
Kesemua suspek kini disiasat mengikut peruntukan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, manakala warga asing turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, PDRM menegaskan komitmen untuk terus mempergiat operasi membanteras kegiatan perjudian haram secara menyeluruh.

Orang ramai juga digesa untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa mengekang aktiviti tersebut daripada terus berleluasa

Share This Article