NURUL IZZAH ENGGAN ULAS

Oleh: Syarmillah Salleh

LAHAD DATU, 13 September 2025 – “Ini kali pertama saya dengar khabar angin ini.”

Begitu kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar apabila ditanya bahawa parti itu akan meletakkan calon yang bukan ahlinya pada pilihan raya negeri akan datang.

Bagaimanapun Nurul Izzah enggan mengulas dan hanya berkata ia merupakan kali pertama mendengar perkara tersebut.

“Saya tidak boleh memberi maklum balas kerana inilah kali pertama saya mendengar cakap-cakap sedemikian…yang terpenting hari ini, kita bergantung kepada maklumat rasmi daripada pihak kami,” katanya kepada media selepas merasmikan Bilik Gerakan Utama dan melancarkan Jentera Pilihan Raya PKR DUN N.61 Segama di Uptown Ipeak di sini.

Dalam pada itu Nurul Izzah turut berkongsi tiga perkara utama berhubung kehadirannya ke Lahad Datu bagi meraikan dan memberikan sokongan kepada usaha Ketua Cabang PKR Lahad Datu, Romansa Lamin serta pasukan pimpinan negeri yang telah bekerja keras dalam melancarkan jentera pilihan raya untuk menghadapi pilihan raya dan terus menyantuni rakyat selepasnya.

Kedua katanya isu kerjasama di mana beliau turut menyambut baik kerjasama erat yang terjalin antara PKR dan pimpinan Barisan Nasional (BN) setempat yang disifatkannya sebagai satu perkembangan positif dan penting bagi kestabilan politik di peringkat negeri.

Sementara perkara ketiga ialah misi dengan menunjukkan komitmen PKR dalam memperkasa Sabah.

Ia selaras dengan usaha Presiden parti yang telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk peruntukan interim kepada negeri,yang buat pertama kali dilaksanakan pada tahun 2024 dan diteruskan pada tahun ini.

“Inilah semangat yang kami bawa melalui slogan Sabah Maju Bersama Madani dan Segama Maju Bersama Madani. Ia menjadi penaruh harapan kami untuk misi membangunkan Sabah secara berterusan,” katanya.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sabah merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri, Datuk Peto Galim, Ketua Cabang PKR Lahad Datu, Romansa Lamin serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Lahad Datu yang diketuai oleh Sharif Musa.

Sebagai simbol kesiapsiagaan jentera, Nurul Izzah turut menyampaikan panji-panji harapan kepada sembilan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN N.61 Segama selain menyampaikan sumbangan kepada 13 orang sukarelawan (NOG).

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan etnik Cocos dan Idahan, serta dihadiri lebih 1,000 orang.

TAMAT