TAKUT IMIGRESEN DARIPADA BUAYA, 40 PATI NEKAD TERJUN LAUT

sabahheadlines
2 Min Read

SEMPORNA, 20 Ogos – Kira-kira 40 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup terjun ke laut bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam satu operasi di sebuah perkampungan atas air di sini, awal pagi Rabu.

Pengarah Imigresen Malaysia Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tindakan nekad itu dipercayai dilakukan walaupun terdapat dakwaan kewujudan buaya di perairan berkenaan.

“Antara cabaran operasi di perkampungan atas air ialah mereka sanggup terjun ke laut. Namun saya nasihatkan pegawai agar tidak mengikut tindakan itu demi menjaga keselamatan sendiri.

“Melihat kepada insiden pagi tadi, jelas bahawa mereka lebih takut Imigresen daripada buaya,” katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen Semporna, hari ini.

Menurut beliau, operasi serentak di sekitar Semporna dan Kunak bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi itu memeriksa 70 individu, dengan 40 daripadanya ditahan.

“Tahanan membabitkan warga Pakistan, Indonesia dan Filipina iaitu 21 lelaki, empat wanita, 11 kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan. Antara kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen sah serta tinggal lebih masa yang akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, dua warga Pakistan turut ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan meragukan yang akan dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk pengesahan.

Sejak Januari hingga kini, katanya, Imigresen Sabah telah melaksanakan 1,019 operasi dengan pemeriksaan terhadap 19,252 individu.

“Daripada jumlah itu, 3,902 orang terdiri daripada warga Filipina, Indonesia, China, Pakistan dan lain-lain ditahan, manakala 89 majikan turut didakwa kerana melindungi PATI,” ujarnya.

TAMAT

Share This Article