KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat dalam istiadat ringkas yang berlangsung di Parlimen.
Upacara angkat sumpah berkenaan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum bermulanya sidang Parlimen.
Mohd Kurniawan Naim melangkah ke Dewan Rakyat selepas meraih kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, Sabtu lalu, dengan majoriti 14,214 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Dalam pilihan raya itu, beliau menewaskan calon Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman yang memperoleh 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid meraih 946 undi.
PRK Parlimen Kinabatangan diadakan susulan kekosongan kerusi berikutan penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
TAMAT
