LAHAD DATU, 9 JUN– Satu anjakan paradigma ekonomi bakal disaksikan di Lahad Datu menerusi penubuhan Lahad Datu Business Council (Majlis Perniagaan Lahad Datu). Entiti baharu ini ditubuhkan bagi memaksimumkan potensi jajaran ekonomi daerah di samping menarik lebih banyak kemasukan pelabur luar.
Presiden Penaja, Datuk Nur Alam Khan, berkata penubuhan majlis ini tercetus atas kesedaran untuk melihat ruang dan peluang ekonomi di Lahad Datu dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Membawa motto “Bersatu Memacu Kemajuan Ekonomi Lahad Datu” ianya dilihat sebagai langkah bagi menyatukan semua bidang perniagaan di bawah satu payung bagi memudahkan kemasukan pelaburan, perkongsian pengalaman, serta membuka ruang pasaran yang lebih luas.
Beliau menegaskan bahawa Lahad Datu Business Council bersifat inklusif dan terbuka kepada semua komuniti perniagaan tanpa terhad kepada usahawan Bumiputera sahaja.
”Kita bersikap terbuka.. Hari ini kita turut menjemput wakil daripada Dewan Perniagaan Bumiputera, Chinese Chamber, Dewan Perniagaan India, individu-individu dan pelabur tempatan yang telah berjaya. Kita mahu saling membela dan menyokong antara satu sama lain demi kemajuan bersama,” jelas Datuk Nur Alam Khan.
Sementara itu, Timbalan Presiden,, d xHaji Abdul Salam bin Kassim menjelaskan bahawa kedudukan geografi Lahad Datu adalah sangat unik dan strategik kerana berada di tengah-tengah (pusat) jajaran daerah utama seperti Sandakan, Tawau, Semporna, dan Kunak.
Penubuhan majlis perniagaan ini diharap dapat mengurangkan kos pengangkutan dan logistik yang tinggi (seperti kos penarikan kapal atau pengangkutan darat yang jauh) dengan menjadikan Lahad Datu sebagai sebuah hab perniagaan utama.
Antara potensi besar yang sedia ada dan bakal diterokai termasuklahSektor Pelancongan,Sektor Perikanan,Sektor Perindustrian dan Perkilangan.
Terdahulu struktur jawatankuasa penaja Lahad Datu Business Council telah dibentuk bagi memastikan kelancaran gerak kerja dengan menyaksikan Datuk Nur Alam Khan dipilih sebagai Presiden, Haji Abdul Salam bin Kassim (Timbalan Presiden), Afdheer bin Hj Abdul Salam (Setiausaha), Mohd Khairul (Penolong Setiausaha), Riduan Yusof(Bendahari Kehormat) dan Ahmad bin Tiong (Penolong Bendahari).
Jawatankuasa penaja itu juga turut menyatakan penghargaan atas sokongan awal daripada Pegawai Daerah Lahad Datu yang telah memberikan pandangan serta nasihat secara lisan.
Selepas ini fokus utama majlis adalah untuk mendaftarkan Lahad Datu Business Council secara sah dan rasmi.
Seterusnya mereka akan mula menggerakkan biro-biro khusus serta memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan di peringkat Persekutuan mahupun Negeri bagi merealisasikan impian menjadikan Lahad Datu sebagai pemacu ekonomi utama di kawasan sekitar.
