LORI SIMEN TERBALIK, LELAKI MAUT DI KENINGAU

sabahheadlines
2 Min Read

KENINGAU, 3 OKT – Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas lori simen yang dipandunya dipercayai terbabas sebelum terbalik di bahu jalan dalam kejadian di Jalan Kampung Bariawa Ulu, Keningau, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada jam 7.02 pagi berhubung kejadian itu.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau yang membabitkan 10 anggota tiba di lokasi pada jam 7.10 pagi, kira-kira lapan kilometer dari balai.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah lori simen terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan.

Berdasarkan maklumat orang awam di lokasi kejadian terdapat mangsa dipercayai terperangkap di dalam lori berkenaan, menyebabkan operasi mengesan dan mengeluarkan mangsa dijalankan.

Pada jam 10.34 pagi, sebuah lori kren tiba di lokasi bagi menjalankan kerja mengangkat lori simen yang terbalik untuk memudahkan operasi menyelamat.

Mangsa berjaya dikesan dan ditemui di dalam lori berkenaan pada jam 10.38 pagi.

Pemeriksaan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mendapati mangsa telah meninggal dunia dan kematiannya disahkan di lokasi kejadian.

Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 40 tahun.

Operasi mengeluarkan mangsa selesai pada jam 10.58 pagi sebelum pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Norhasrita Abdul Manan, dengan turut dibantu 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota KKM.

Logistik JBPM yang digunakan membabitkan sebuah jentera FRT dengan tujuh anggota serta EMRS yang disertai tiga anggota.

Share This Article