TAWAU, 20 Jan – Polis menahan seorang lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan kecurian papan kayu belian di Kampung Melati Burut, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau dengan bantuan Balai Polis Bombalai kira-kira jam 6.35 petang di tepi jalan kampung berkenaan.
Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 8 malam Ahad lalu apabila mangsa mendapati pintu dapur belakang rumahnya rosak dan kehilangan 40 keping papan kayu belian dengan anggaran kerugian kira-kira RM2,000.
Polis turut merampas sembilan batang kayu belian serta sebilah pisau panjang yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
ACP Jasmin menegaskan polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah harta benda dan pelanggaran undang-undang imigresen di daerah ini.
TAMAT
