LAHAD DATU,4 FEB – Hujan lebat disertai ribut petir sejak petang tadi telah mengubah beberapa kawasan di daerah ini menjadi sungai sementara memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan bencana pada jam 7 malam tadi.
Semua agensi berkaitan kini dikerah bersiap sedia sepenuhnya sementara penduduk diingatkan agar sentiasa berjaga-jaga menghadapi ancaman cuaca ekstrem.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lahad Datu, Mohd Firuz Idzualdin @ Benetty bin Dzul, berkata pengisytiharan itu dibuat berikutan keadaan cuaca buruk yang menjejaskan beberapa kawasan di daerah ini.
Menurut beliau selaras dengan pengisytiharan bencana tersebut Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta pemantauan banjir di Lahad Datu telah diaktifkan sepenuhnya bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.
“Semua agensi terlibat diminta berada dalam keadaan siap sedia untuk melaksanakan tindakan lanjut termasuk operasi pemantauan, bantuan kecemasan dan pengurusan mangsa jika diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengikuti perkembangan semasa berkaitan situasi banjir dari semasa ke semasa.
TAMAT
