KUIL SRI MAHA MARIAMMAN KOVIL JADI MERCU TANDA BAHARU

sh@syamilah salleh

LAHAD DATU : Suasana penuh spiritual dan kemeriahan menyelubungi Kuil Sri Maha Mariamman Kovil di Ladang Layong apabila upacara pembukaan rasminya diadakan pada kelmarin

Kuil Sri Maha Mariamman Kovil merupakan kuil Hindu pertama di Lahad Datu dan mula dibina pada tahun 2019.

Namun, kerja-kerja pembinaan fizikal hanya dapat dimulakan pada tahun 2022 dan disiapkan pada Mei 2025, hasil usaha berterusan sejak tahun 2003.

Projek pembinaan kuil ini dilaksanakan di atas tapak seluas 2.5 ekar yang telah disumbangkan oleh Ramlah Singh Praser, pemilik Ladang Layong.

Majlis yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari itu diketuai oleh Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Kovil merangkap Presiden Persatuan Penganut Agama Hindu Lahad Datu, Ravi a/l Vellan.

Upacara perasmian disempurnakan oleh Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, bekas Ketua Menteri Sabah, yang juga Presiden Parti SAPP dan Pengerusi POIC.

Lebih 300 orang penganut Hindu dari Lahad Datu, Kudat, Labuan dan Kota Kinabalu, serta masyarakat setempat pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis tersebut.

Turut hadir ialah Datuk V. Jothi, Presiden Dewan Perniagaan India Sabah; Datuk Ramasamy a/l Rengasamy, Pengerusi Persatuan Agama Hindu Labuan; Ramlah Singh Praser, penyumbang tapak kuil; dan Wong Yu-Chin, Ketua SAPP N.61 Segama.

Tumpuan utama majlis ialah Upacara Kumbhabhishekam iaitu upacara penyucian dan pengaktifan spiritual kuil.

Beberapa ritual suci lain turut dilangsungkan seperti Bhoomi Pooja, Kalasa Sthapana, Puja dan Homam, Pradakshina dan Arati, serta pembahagian prasadam kepada para hadirin.

Menurut Ravi, upacara keagamaan ini telah bermula sejak 4 Jun lalu dengan penyertaan seramai 12 orang sami dari Semenanjung Malaysia bagi mengendalikan pelbagai ritual suci.

Beliau memaklumkan bahawa upacara ini akan diteruskan selama 48 hari sebelum kuil digunakan sepenuhnya untuk ibadat harian.

Kuil ini bernaung di bawah Persatuan Penganut Agama Hindu Lahad Datu, Sabah, yang diketuai oleh Ravi a/l Vellan bersama barisan jawatankuasa aktif dalam pembangunan komuniti Hindu tempatan.

TAMAT