BEAUFORT, 8 Januari 2026 – Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort berjaya menyelamatkan seekor kucing yang tersangkut pada bahagian kepala di dalam lubang tombol pintu dalam satu operasi menyelamat di Kampung Batu 6, Lumadan, di sini petang tadi.
Menurut kenyataan JBPM, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.10 petang sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.25 petang dan mendapati seekor kucing berwarna putih tersangkut pada tombol pintu sebuah rumah menyebabkan haiwan itu tidak dapat melepaskan diri.
Komander Operasi, PBK I Irwan bin Abdul berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan kucing tersebut dengan menggunakan kaedah berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan.
“Operasi menyelamat dijalankan dengan cermat dan kucing tersebut berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.44 petang.
Operasi menyelamat ini melibatkan penggunaan sebuah jentera FRT dengan lima anggota serta sebuah kenderaan utiliti VIGO yang membawa tiga anggota.
Sementara itu, Ketua Balai BBP Beaufort, Ishak bin Jabas memaklumkan pihak bomba sentiasa bersedia memberikan bantuan bukan sahaja melibatkan kecemasan kebakaran dan kemalangan malah turut melibatkan khidmat menyelamat haiwan demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
TAMAT
