BONGAWAN,10 NOV: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan dan pentadbiran negara berjalan lancar.
“Kerjasama dengan Kuala Lumpur amat penting kerana mereka mentadbir negara. Walau apa pun sambil kita pertahankan hak negeri, kita juga harus pertahankan negara,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan di Dewan Serbaguna Bongawan, hari ini.
Dalam ucapannya, Hajiji turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan RM1.3 bilion dalam tempoh empat tahun lalu bagi membantu kira-kira 500,000 pelajar Sabah melalui pelbagai program pendidikan dan biasiswa.
Katanya, jumlah peruntukan biasiswa kini meningkat kepada RM145 juta setahun berbanding hanya RM40 hingga RM50 juta sebelum ini, hasil kejayaan kerajaan negeri meningkatkan kutipan hasil kepada RM7.5 bilion setahun.
Hajiji turut menolak tuduhan pembangkang yang mendakwa kerajaan hanya membuat pengumuman tanpa hasil, sambil menegaskan bahawa manfaat sebenar dirasai oleh rakyat.
“Rugi kalau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak dikasi menang. Kita mesti bersatu untuk menentukan masa depan Sabah,” tegasnya.
Pada majlis itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengumumkan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman sebagai calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Beliau yakin Bongawan akan kembali menjadi milik GRS dan menegaskan pentingnya kestabilan politik untuk menjamin kesinambungan pembangunan serta pelaksanaan program ekonomi lima tahun akan datang.
TAMAT
