35 PATI Ditahan Dalam Ops Sapu dan Ops Jaja di Sabah

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 12 Februari 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Dalam operasi di Lahad Datu, seramai 22 pegawai penguat kuasa terlibat dengan pemeriksaan ke atas 111 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, Indonesia dan Filipina. Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 31 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Daripada jumlah itu, tangkapan membabitkan tiga lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, lapan kanak-kanak lelaki serta lapan kanak-kanak perempuan. Mereka dipercayai melakukan kesalahan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi tempoh sah serta melanggar syarat pas mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, dalam Ops Jaja di Kota Kinabalu, seramai 14 pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan terhadap 10 individu sebelum menahan empat PATI terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita dewasa.

JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

TAMAT

Share This Article