Johainizamshah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2025 daripada Pegawai Khas Ketua Menteri, Mohd Ismail Haji Ayub pada majlis sambutan Maal Hijrah dan Mahrajan Kesenian Islam Peringkat Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.
sh@ Aleeya Villiamon
KINABATANGAN: Penerima Tokoh Maal Hijrah Kinabatangan menyifatkan anugerah itu sebagai penyuntik semangat untuk berbakti kepada rakyat.
Johainizamshah Johari diumumkan sebagai tokoh Maal Hijrah Kinabatangan tahun ini pada sambutan Maal Hijrah dan Mahrajan Kesenian Islam di Dewan Sri Lamag di sini.
“Saya hanyalah anak muda dari Lamag yang tidak sempurna, tetapi saya percaya dengan keikhlasan hati dan kesungguhan berkhidmat, kita mampu membawa perubahan yang bermakna kepada masyarakat,” katanya yang merupakan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Lamag.
Johainizamshah berkata, penganugerahan tersebut bukan miliknya seorang, sebaliknya mewakili seluruh pasukan dan rakyat yang selama ini mendokong perjuangannya.
Menurutnya, anugerah itu turut mengangkat usaha kolektif yang dilaksana melalui pelbagai program pembangunan sosial, dakwah dan pemberdayaan masyarakat yang digerakkan di peringkat akar umbi.
“Ini bukan soal nama atau gelaran, tetapi soal tanggungjawab untuk terus memimpin dengan jiwa yang peduli. Saya yakin, perubahan sebenar bermula daripada hati yang mahu melihat ummah berjaya,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Daerah Kinabatangan yang diketuai oleh Ustaz Haji Awang Sulong Bin Atim atas kepercayaan dan penilaian telus yang diberikan.
Tambah beliau, tema sambutan tahun ini, “Membangun Ummah Madani”, amat bertepatan dengan keperluan semasa yang menuntut kepimpinan yang bukan sahaja cekap, tetapi juga berteraskan nilai dan akhlak.
“Membangun ummah madani bukan kerja sehari, bukan kerja seorang. Ia menuntut usaha berterusan, kerjasama semua pihak dan keberanian memimpin dengan amanah,” jelasnya.
Anugerah itu didedikasikan kepada ibu bapa, isteri, keluarga serta semua warga kerja Unit PPM Lamag, Kerajaan Negeri Sabah dan seluruh masyarakat Kinabatangan, terutamanya generasi muda Sabah yang menjadi tunjang harapan masa depan.
Majlis turut dihadiri pemimpin tempatan, pegawai kerajaan serta komuniti pelbagai latar belakang yang bersatu menyambut detik hijrah sebagai lambang penyatuan dan kekuatan masyarakat Islam.
Tamat
