MEMBAKUT, 14 Sept – Hujan lebat yang berterusan sejak semalam mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Membakut dan Kimanis dinaiki air, sekali gus menjejaskan lalu lintas serta aktiviti penduduk.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut, hujan lebat sejak 13 September sehingga pagi ini menyebabkan paras air sungai meningkat dan menenggelamkan beberapa kawasan hotspot banjir.
Di daerah Membakut, Kampung Ulu Baitam merekodkan paras air setinggi 0.4 meter dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.
Kampung Baitam Baru pula mencatat paras 0.5 meter dan turut ditutup kepada semua kenderaan, manakala Kampung Jambatan Baru dengan paras 0.3 meter hanya boleh dilalui kenderaan berat.
Di Kimanis, Kampung Gadong merekodkan paras 0.1 meter dan masih boleh dilalui semua kenderaan.
Selain itu Jalan Pekan Lama di Membakut turut dinaiki air setinggi 0.3 meter sekaligus mengehadkan laluan hanya kepada kenderaan berat.
Sehingga jam 9.45 pagi ini, bacaan paras air Sungai Membakut mencatat 6.39 meter, iaitu melebihi paras bahaya 6.30 meter.
Tiada sekolah yang terjejas akibat banjir setakat ini. Kawasan kampung yang dikenal pasti terjejas ialah Kampung Ulu Baitam, Kampung Baitam, Kampung Jambatan Baru serta Kampung Gadong di Kimanis.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Membakut telah menggerakkan empat anggota bersama sebuah kenderaan Bighorn bagi melakukan pemantauan di kawasan terlibat.
TAMAT
