GovTech PERLU UTAMAKAN PENGALAMAN RAKYAT, PERKHIDMATAN PROKTIF

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU,22 SEPT – Kerajaan Negeri mahu agenda teknologi kerajaan (GovTech)  memberi tumpuan kepada pengalaman rakyat (Citizen Experience) dan penyampaian  perkhidmatan secara proaktif, selaras dengan usaha memastikan urusan kerajaan lebih  mudah, pantas dan mesra pengguna. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata falsafah GovTech  meletakkan rakyat sebagai paksi utama (people-centric design), bermakna kerajaan  tidak lagi menunggu rakyat datang mencari perkhidmatan atau berdepan dengan  kerenah birokrasi yang membebankan. 

“Sebaliknya, teknologi dimanfaatkan agar perkhidmatan kerajaan dapat sampai kepada  rakyat secara terus, lancar dan mesra pengguna,” katanya dalam ucapan sempena  Majlis Perasmian Seminar Digital@Sabah Edisi Ke-18 dan Digital Tamu 2026 di Sabah  International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini. 

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk  Ceasar Mandela Malakun. 

Hajiji berkata, transformasi digital amat penting untuk meningkatkan kemudahan  menjalankan perniagaan (Ease of Doing Business) di Sabah sekali gus menarik  pelaburan dan memajukan ekonomi negeri. 

“Namun, harus kita ingat bahawa teknologi canggih hanyalah sebuah alat GovTech  tidak akan membawa makna tanpa perubahan sikap dan minda (mindset shift) daripada  para penjawat awam,” katanya. 

Beliau berkata, kecekapan, integriti dan sifat empati penjawat awam adalah ‘enjin  utama’ yang memberi jiwa kepada teknologi demi kesejahteraan rakyat Sabah selain  pemodenan sektor awam menerusi GovTech membolehkan agensi kerajaan negeri dan  Persekutuan meruntuhkan sistem kerja secara silo. 

Katanya, integrasi data dan sistem antara agensi di peringkat Persekutuan dan negeri  adalah prasyarat bagi mewujudkan perkhidmatan kerajaan yang pantas, mudah dan  telus terutama dalam usaha merapatkan jurang sosioekonomi serta memastikan  limpahan pembangunan digital dinikmati rakyat hingga ke kawasan luar bandar dan  pedalaman.

Hajiji turut mengingatkan bahawa peningkatan kebergantungan kepada ekosistem  digital perlu disusuli benteng keselamatan siber yang kukuh, termasuk perlindungan  data peribadi rakyat yang diamanahkan kepada agensi kerajaan. 

Dalam pada itu, beliau berkata Program Digital Tamu yang dianjurkan serentak menjadi  cerminan tekad kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyantuni serta memangkin  ekosistem ekonomi digital tempatan khususnya membabitkan Perusahaan Mikro, Kecil  dan Sederhana (PMKS) di Sabah. 

Beliau berkata, Digital Tamu menghimpunkan sehingga 30 pempamer termasuk  syarikat teknologi tempatan yang menawarkan solusi digital dan teknologi terkini, selain  agensi sokongan seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Sabah  Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) sebagai pemudah cara  mempercepatkan proses pendigitalan perniagaan PMKS di negeri ini. 

“Saya amat berharap usahawan-usahawan tempatan dapat memanfaatkan platform ini  sepenuhnya demi kelestarian perniagaan mereka pada era digital ini,” katanya. 

Share This Article