NANA PUTERI,KV SANDAKAN 2 SANTUNI WARGA EMAS

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 18 JULAI – Seramai 40 pelajar menyantuni 42 penghuni di Rumah Warga Tua Sri Harapan, di sini menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Program tersebut bukan sahaja membawa keceriaan kepada warga emas malah menjadi platform membentuk nilai keprihatinan dalam kalangan pelajar.

Program anjuran Nana Puteri Beauty & Wellness Sandakan dengan kerjasama Kolej Vokasional Sandakan 2 itu telah dirasmikan oleh Pengarah Kolej Vokasional Sandakan 2, Christine Stanislaus Kinsik.

Sepanjang program berlangsung para peserta meluangkan masa beramah mesra bersama penghuni rumah warga emas selain menyediakan perkhidmatan percuma seperti mencuci rambut, penjagaan asas diri dan kebersihan kuku bagi memastikan kebajikan serta keselesaan mereka terus diberi perhatian.

Pemilik Nana Puteri Beauty & Wellness Sandakan, Masna Osman berkata program itu diadakan sebagai usaha menyemai nilai kasih sayang, empati dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar melalui penglibatan secara langsung bersama masyarakat.

Menurutnya, program berkenaan juga bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aktiviti kemasyarakatan di samping menarik minat lebih ramai belia dan bakal pelajar untuk menceburi bidang kosmetologi sebagai kerjaya yang mempunyai prospek cerah.

“Melalui program seperti ini pelajar bukan sahaja dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari malah memahami kepentingan menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kolej Vokasional Sandakan 2, pengurusan Rumah Warga Tua Sri Harapan serta semua peserta yang memberikan komitmen bagi memastikan program CSR berkenaan berjalan lancar dan mencapai objektifnya.

Program itu sekali lagi membuktikan bahawa sentuhan kemahiran dan nilai kemanusiaan mampu membawa senyuman serta menceriakan kehidupan golongan warga emas yang memerlukan perhatian dan kasih sayang masyarakat.

Share This Article