KOTA KINABALU: 28 Sept-Tindakan Datuk Abdul Mijul Unaini menyertai Parti Warisan semalam jelas berlandaskan cita-cita peribadi, bukannya perjuangan untuk rakyat.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin berkata, keputusan itu dipercayai kerana Abdul Mijul dijanjikan peluang menjadi calon Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Atau beliau sendiri berpendapat langkah tersebut akan membuka laluan sebagai calon parti itu, kata Mohammad.
Menurutnya, Gagasan Rakyat yang semakin kukuh di Banggi, bukannya bergantung pada seorang individu semata-mata.
“Kalau perjuangan beliau benar-benar untuk rakyat, tidak mungkin mudah beralih arah hanya kerana mengintai peluang jadi calon. Ini jelas menunjukkan perjuangan yang dibawa bukan atas nama rakyat, tetapi untuk memenuhi cita-cita politik peribadi.
“Kami menghormati keputusan beliau, tetapi rakyat Banggi tahu menilai siapa yang bekerja untuk mereka dan siapa yang hanya mengejar jawatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Mijul pernah menjadi Wakil Rakyat Banggi dari 2008 hingga 2018. Bagaimanapun, pengaruh politiknya merosot selepas tewas pada pilihan raya sebelum itu, sekali gus membuktikan rakyat sudah menolak kepimpinannya.
“Kalau beliau masih diyakini, tentu rakyat tidak akan menolak pada pilihan raya lalu dan kini memilih jalan pintas dengan menjadikan Warisan sebagai platform politik baharu,” tegas Mohammad.
Mohammad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi menjelaskan bahawa Gagasan Rakyat tidak tergugat dengan tindakan individu yang berpaling tadah. Sebaliknya, jentera parti di bahagian Banggi kini lebih mantap dan bersedia menghadapi PRN ke-17.
“Pemergian Abdul Mijul tidak menjejaskan kekuatan kami. Malah, ahli dan penyokong kini lebih bersemangat untuk memastikan kerusi Banggi kekal bersama Gagasan Rakyat. Rakyat mahukan kesinambungan pembangunan dan kerajaan yang mampu membela mereka,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh ahli Gagasan Rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan gerakan politik individu yang hanya mementingkan kedudukan peribadi.
“Inilah perbezaan Gagasan Rakyat dengan mereka yang hanya sibuk mengejar jawatan. Kami bekerja untuk rakyat, bukan untuk memenuhi cita-cita politik individu,” katanya.
Tamat