SANDAKAN, 28 Januari 2026 – Polis menahan empat lelaki dalam satu operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, Rabu.
Operasi Tapis Narkotik yang digerakkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bermula kira-kira jam 11 pagi, melibatkan kawasan Kampung Tinusa 2 Batu 7, Bandar Letat Batu 3 serta Jalan Besar Buli Sim-Sim, Batu 1½.
Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seorang lagi suspek turut ditahan kerana dipercayai menyembunyikan dadah di dalam badan. Kedua-duanya dibawa ke pejabat BSJND Sandakan bagi tindakan lanjut.
Selain itu, pasukan BSJND Sandakan turut membantu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dalam menjalankan ujian saringan awal air kencing terhadap dua lelaki lain yang ditahan dalam kes jenayah berasingan.
Hasil ujian air kencing mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine (syabu). Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini direman di Lokap IPD Sandakan untuk siasatan lanjut.
Operasi berkenaan dilaksanakan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, dalam mempergiat usaha membanteras jenayah berkaitan dadah di daerah ini.
TAMAT
