KUNAK, 2 APRIL — Dua lelaki mengalami kecederaan selepas sebuah lori tangki membawa minyak sawit mentah (CPO) terbabas dalam kejadian di Bukit Ular, Jalan Lahad Datu–Kunak, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 11.17 pagi sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai enam anggota bersama dua jentera dihantar ke lokasi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai dan tiba pada jam 12.13 tengah hari.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori tangki yang terbabas sendiri. Terdapat dua mangsa lelaki, namun kedua-duanya telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan cedera, manakala insiden itu turut menyebabkan tumpahan minyak diesel di permukaan jalan yang boleh membahayakan pengguna lain.
Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan keselamatan di kawasan sekitar serta melakukan kerja pembersihan dengan menggunakan buih khas bagi mengawal dan menghapuskan kesan tumpahan minyak.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.54 tengah hari selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.
