DUA BERANAK MAUT DISYAKI KERACUNAN MAKANAN KENDURI KAHWIN

sabahheadlines
1 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

TAWAU, 13 Ogos –Dua beranak, ibu dan anak lelaki meninggal dunia pada Selasa dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang memaklumkan ibu saudaranya, berumur 36 tahun, dan anak sulungnya, sembilan tahun, meninggal dunia selepas mengalami cirit-birit serta muntah.

“Kedua-dua mangsa menghadiri kenduri pada Sabtu dan membawa pulang makanan untuk suami mangsa. Suami mangsa turut mengalami cirit-birit dan muntah sejak Ahad hingga Isnin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, maklumat awal mendapati beberapa tetamu lain yang hadir ke majlis itu juga mengalami simptom sama.

Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan bantuan polis, manakala Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut hadir di lokasi.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bedah siasat di Hospital Tawau mendapati tiada kesan kecederaan pada kedua-dua mangsa,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut termasuk mendapatkan keterangan saksi lain masih diteruskan dan setakat ini tiada laporan baharu berkaitan kejadian itu.

Tamat

Share This Article