PETRONAS, Sabah Energy Meterai Perjanjian Dasar Induk Kluster Mutiara

sabahheadlines
1 Min Read

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Sabah terus memperkukuh kedudukan sektor tenaga negeri menerusi beberapa perkembangan penting membabitkan Sabah Energy Corporation (SEC) dan Bridge Petroleum Limited, sempena lawatan kerja di ibu negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, satu pertukaran dokumen Perjanjian Dasar Induk antara PETRONAS dan SEC bagi Kluster Mutiara telah dimeterai sebagai langkah awal ke arah pembangunan sumber gas secara lebih tersusun.

Menurutnya, perjanjian itu menjadi asas kepada Perjanjian Jualan Gas yang disasarkan dimuktamadkan menjelang suku pertama 2029, sekali gus dijangka membuka peluang pulangan lebih baik kepada negeri pada masa hadapan.

Dalam majlis sama, turut berlangsung pertukaran dokumen Kontrak Perkongsian Pengeluaran bagi Kluster Permata antara PETRONAS dan Bridge Petroleum Limited yang dilantik sebagai kontraktor baharu.

Hajiji berkata, kluster minyak dan gas yang terletak di luar pesisir Sabah itu dijangka mengukuhkan ekosistem industri tenaga negeri serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Beliau menegaskan, langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan sumber tenaga Sabah diurus secara strategik dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

TAMAT

Share This Article