SANDAKAN: Polis Daerah Sandakan melalui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menahan tiga lelaki selepas didapati positif dadah dalam Ops Bersepadu anjuran ESSCOM yang dijalankan di beberapa kawasan setinggan, di sini, semalam.
Operasi yang berlangsung dari jam 4 pagi hingga 5 petang itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan tempatan dan dilaksanakan di Setinggan Kampung Pangeran Galpam, Setinggan Letat Batu 3 serta Setinggan Kampung Kombo, Jalan Batu Sapi.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merobohkan sebuah pondok yang dipercayai digunakan sebagai lokasi pengedaran dan penagihan dadah jenis syabu di kawasan Setinggan Kampung Kombo.
Semua suspek dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan bagi menjalani ujian saringan air kencing sebelum disahkan positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini direman di lokap IPD Sandakan bagi siasatan lanjut.
Operasi berkenaan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman dalam usaha membanteras aktiviti jenayah dadah di daerah itu.
TAMAT
