KOTA KINABALU, 3 Februari 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 53 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Kutip dan Ops Sapu yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran, bermula 2 hingga 3 Februari lalu.
Operasi selama dua hari itu dilaksanakan oleh Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM dengan kekuatan 61 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu.
Menurut kenyataan, seramai 177 individu telah diperiksa sepanjang operasi tersebut sebelum 53 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan 29 wanita, dipercayai warganegara Filipina.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi membanteras kemasukan PATI serta memastikan keselamatan dan ketenteraman negara terus terpelihara.
TAMAT
