SEMPORNA, 2 Februari 2026 — Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian enjin bot di sebuah resort di kawasan Sea Star Resort, di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, kejadian itu disedari oleh pemilik resort berkenaan selepas mendapati sebuah enjin bot jenis Yamaha 15 kuasa kuda yang disimpan di stor telah hilang pada pagi 27 Januari lalu.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek menaiki sebuah bot kecil sebelum salah seorang daripada mereka masuk ke stor dan melarikan enjin bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, susulan laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Semporna dengan bantuan Pasukan Polis Marin berjaya menahan seorang lelaki warga asing di Kampung Bangau-Bangau pada 28 Januari lalu.
Pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di Kampung Pulau Lumanggas serta rampasan sebuah bot kayu dan dua enjin bot Yamaha, termasuk enjin yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan. Kesemua suspek didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Tan menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah harta benda dan menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
TAMAT
