PAPAR TUAN RUMAH PELANCARAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH 2026

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 27 Januari 2026 – Daerah Papar dipilih sebagai lokasi penganjuran Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei ini.

Keputusan tersebut dimuktamadkan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa penganjur yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Menurut beliau, Pesta Kaamatan bukan sekadar sambutan tahunan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam memelihara identiti budaya serta mengukuhkan hubungan dan perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Katanya, perayaan itu turut mencerminkan keharmonian masyarakat Sabah yang kaya dengan adat resam dan tradisi, selain menjadi simbol penghargaan terhadap hasil pertanian dan warisan nenek moyang yang terus dipelihara.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Pembantu Menteri I, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun; Bendahari KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip, selain pegawai daerah, ketua jabatan dan ahli jawatankuasa berkaitan.

TAMAT

Share This Article