TIGA LELAKI DITAHAN OPS TAPIS NARKOTIK DI SEKITAR MANGKALINAU DAN TAMAN MUTIARA

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 27 Jan – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menahan tiga lelaki dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Mangkalinau Batu 3 dan Taman Mutiara, Batu 2½, malam Isnin.

Operasi yang bermula kira-kira jam 9.30 malam itu menyaksikan seorang suspek ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine, selain dipercayai memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan sendiri.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine sebelum ditahan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Dalam operasi sama, dua lagi lelaki turut ditahan selepas hasil saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Kesemua suspek kini ditahan di Lokap IPD Sandakan bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Operasi berkenaan dilaksanakan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, dalam mempergiat usaha membanteras jenayah berkaitan dadah di daerah ini.

TAMAT

Share This Article