PEMANDU HILUX MAUT, DIPERCAYAI MENGELAK KENDERAAN TUKAR LALUAN SECARA TIBA-TIBA

sabahheadlines
2 Min Read

Lahad Datu, 23 Januari 2026 – Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya elibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pantai Lahad Datu, awal pagi tadi dipercayai akibat tindakan pemandu yang cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang menukar laluan secara tiba-tiba.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.58 pagi itu, mangsa merupakan penumpang sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun.

Kenderaan tersebut dilaporkan dalam perjalanan dari Bandar Sri Perdana menghala ke Bandar Lahad Datu.

Menurut siasatan awal di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai berada di lorong kiri jalan sebelum pemandunya cuba mengelak sebuah van yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya, yang secara tiba-tiba menukar lorong dari kanan ke kiri.

Akibat tindakan mengelak tersebut, pemandu dipercayai telah terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar penghadang simen dan terjatuh ke dalam manhole pembentungan.

Susulan kemalangan itu, penumpang lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian tangan kanan dan telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu terutamanya dalam keadaan hujan dan permukaan jalan yang licin.

TAMAT

Share This Article