PENAMPANG, 19 Januari 2026 – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah menerusi satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, tengah hari tadi.
Dalam operasi berkenaan, polis merampas dua paket plastik lutsinar serta dua keratan straw yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan berat keseluruhan 7.43 gram dan dianggarkan bernilai RM1,100.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan tidak kurang daripada tiga sebatan, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau penyalahgunaan dadah supaya menyalurkannya kepada balai polis berhampiran bagi membantu usaha membanteras gejala berkenaan di daerah ini.
TAMAT
