Hazem Mubarak Pantau Rapi Gangguan Bekalan Air di Sungai Manila

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU (16 JANUARI): Isu bekalan air merupakan keperluan asas rakyat yang tidak boleh dikompromi.

Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Tun Musa memberi jaminan ia akan terus diberi perhatian serius terhadap perkara itu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Air bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung punca gangguan bekalan serta langkah penyelesaian yang sedang dan akan dilaksanakan.

Menurutnya, pendekatan turun padang dan keputusan berasaskan fakta amat penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil benar-benar menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya akan memantau perkembangan isu ini dan memastikan maklumat hasil pertemuan dimaklumkan kepada rakyat secara telus. Kepentingan rakyat adalah keutamaan,” katanya.

Hazem memaklumkan Jabatan Air kini sedang menjalankan kerja pembaikan saluran paip utama yang rosak.

Sementara itu, beliau turut mengambil inisiatif menambah tangki simpanan air di beberapa kampung dalam kawasan DUN Sungai Manila yang terjejas.

Selain itu, beliau mengarahkan Jabatan Air supaya mempertingkatkan penghantaran bekalan air ke kawasan yang memerlukan sehingga masalah tersebut diselesaikan sepenuhnya.

Tindakan pantas itu mencerminkan komitmen wakil rakyat berkenaan dalam memastikan kebajikan penduduk Sungai Manila terus terpelihara.

TAMAT

Share This Article